KUCHING: Seramai 35 penghuni daripada 10 keluarga hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Jalan Helang dekat Kampung Semerah Padi di sini musnah dalam kebakaran pada Ahad.

Bagaimanapun kesemua penghuni selamat semasa insiden yang meranapkan rumah dua tingkat itu sekitar jam 5 petang.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba Sarawak, Henderi Ardimansyah, semua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri.

Bertindak atas panggilan, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya yang diketuai komander operasi Herudin Ealhi diatur gerak ke lokasi.

“Operasi pemadaman turut melibatkan pasukan dari BBP Tabuan Jaya.

“Kesemua 35 mangsa selamat membabitkan 27 penghuni dewasa dan lapan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba.